01 Oktober 2010

DEFTECH Diberi Tempoh Sehingga Jun 2011 Siapkan Kereta Perisai AV-8

01 Oktober 2010

FNSS PARS 8x8 sebagai mitra prototipe AV8 (photo : Army Recognition)

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberikan tempoh sehingga Jun tahun depan kepada syarikat pertahanan utama tempatan, DRB-Hicom Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH) bagi menghantar prototaip kereta perisai (APC) 8x8 AV8 yang sepatutnya dihantar pada 1 Januari.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata lanjutan enam bulan itu diberikan selepas pihaknya selesai meneliti cadangan pengguna AV8 itu yang antara lain mahukan pengubahan teknikal sebelum disiapkan sepenuhnya.
"Sebelum ini melalui perjanjian asal sudah ditetapkan prototaip AV8 dikeluarkan pada 1 Januari tahun depan. "Oleh kerana ada pengubahan teknikal yang dicadangkan kepada syarikat pembuatnya, maka kerajaan telah mengizinkan mereka diberikan lanjutan tempoh enam bulan lagi dari tarikh asal penghantaran itu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan Negara di sini, hari ini.

Antara pengguna prototaip AV8 itu adalah unit perisai, inventori, pasukan perubatan dan lain-lain unit.

DEFTECH adalah satu-satunya syarikat tempatan yang terbukti mempunyai kepakaran dalam pembinaan kereta perisai.

Pada pameran Defence Service Asia (DSA) 2010 April lalu, Kementerian Pertahanan memeterai surat tunjuk minat (LOI) bagi perolehan 257 unit AV8 untuk menggantikan kereta perisai Condor 4x4 dan Sibmas 6x6 yang sudah uzur.

Kereta perisai AV8 adalah hasil peralihan teknologi daripada syarikat pertahanan antarabangsa, FNSS dari Turki dan Denel Land Systems dari Afrika Selatan bagi membolehkan Malaysia mempunyai APC buatan sendiri yang pertama.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga mahu penggunaan komponen tempatan dalam pembinaan kereta perisai itu dipertingkatkan sekurang-kurangnya kepada 35 peratus berbanding hanya 18 peratus yang terkandung dalam tawaran kontrak terdahulu.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar